The Borneo Store Produk Tempatan Sabah & Sarawak. Beli Sini Segera.

Pelancaran Pesta Kaamatan 2011 Di Tuaran

Pelancaran Pesta Kaamatan 2011 akan diadakan di Daerah Tuaran dan ia dijangka dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman pada 1 Mei ini.

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata, sambutan Pesta Kaamatan di peringkat daerah di seluruh negeri akan bermula pada 7 hingga 25 Mei ini manakala peringkat negeri pada 30 dan 31 Mei di Dewan Hongkod Koisaan, Penampang.

“Pelbagai program telah kita atur untuk sambutan Pesta Kaamatan kali ini termasuk mengadakan acara-acara kebudayaan yang terdapat di daerah lain yang belum pernah ditonjolkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Induk Pesta Kaamatan 2011 di Bilik Mesyuarat Bangunan Kerja Raya (JKR), di sini, semalam.

Pairin yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri berkata, pesta itu merupakan salah satu program kerajaan dalam memupuk perpaduan antara kaum di negara ini.

Katanya, walaupun pesta itu disambut oleh masyarakat Kadazandusun dan Murut, tetapi ia sebenarnya turut diraikan oleh semua kaum di negeri ini.

Beliau berkata, Pesta Kaamatan merupakan landasan untuk mendidik generasi muda mengenai peranan kebudayaan dalam mengeratkan perpaduan, persefahaman dan mengukuhkan silaturahim.

Pairin berkata, selain acara-acara kebudayaan pihaknya juga akan mengadakan program sukan tradisi pada 30 dan 31 Mei ini.

Beliau memberitahu, acara di peringkat daerah iaitu Beluran, Telupid dan Semporna akan diadakan pada 7 Mei, Kudat (10 Mei), Kota Kinabalu (11 hingga 13 Mei), Matunggong dan Tongod (12 Mei), Daerah Kecil Pengalungan, Beaufort dan Pitas pada 13 Mei.

Daerah Penampang, Lahad Datu, Putatan dan Daerah Kecil Kemabong (14 Mei), Sook, Tenom, Kota Belud, Daerah Kecil Membakut dan Pulau Banggi masing-masing pada 15 dan 18 Mei.

Pesta Kaamatan di Tambunan, Ranau, Kunak dan Kota Marudu akan diadakan pada 21 Mei, Kuala Penyu, Menumbok dan Keningau (22 Mei) dan Sipitang pula pada 23 Mei.

(Sumber dari: Utusan, 22 January 2011)

2 Comments

Leave a Reply

CommentLuv badge
Protected by WP Anti Spam