The Borneo Store Produk Tempatan Sabah & Sarawak. Beli Sini Segera.

Misi Menawan Bukit Tengkorak, Semporna Telah Berjaya!

 Bukit Tengkorak, Semporna

Assalammualaikum dan salam sejahtera.

Kali ini aku ingin mengimbas kembali kejayaan menawan Bukit Tengkorak yang terletak di kawasan Tampi-Tampi, Semporna.

Pada asalnya tak berniat ke sana. Alang-alang dah berada berhampiran, niat ke Bukit Tengkorak diteruskan. Kebetulan kami sampai di sana pada tengah hari. Kalau di pejabat, waktu rehat begini pasti digunakan untuk makan. Namun aku dan seorang rakan sekerja ambil risiko mendaki Bukit Tengkorak di bawah terik matahari.

Laluan pejalan kami menuju ke puncak bukit dalam keaadaan elok dan beberapa buah pondok wakaf di bina bagi yang menghilangkan penat mendaki dan menuruni bukit. Kalau musim hujan, kenalah lebih berhati-hati kerana permukaan jalan licin.

Menurut pegawai bertugas di sana, makanan tidak dibenarkan dibawa naik ke atas kerana kemungkinan ia akan mencemarkan kebersihan persekitaran bukit. Memang ada benar juga, pasti sakit mata melihat sampah yang bersepah. Namun ketika aku di sana, persekitaran adalah bersih dan terjaga.

Walaupun penat kena pancaran matahari, misi mendaki ke puncak Bukit Tengkorak berjaya!

Bukit Tengkorak

Pembangunan Tapak Arkeologi Bukit Tengkorak, Semporna , Sabah

Penyelidikan arkeologi saintifik dan bersistematik telah dijalankan di Bukit Tengkorak dan kawasan sekitar daerah Semporna oleh kumpulan penyelidik dari Pusat Penyelidikan Arkeologi Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang dengan kerjasama Jabatan Muzium Sabah semenjak tahun 1994 dan kini bersama dengan Jabatan Warisan Negara.

Dalam rancangan pembangunan yang dilaksanakan ini, pihak jabatan merancang untuk membina kemudahan infrastruktur seperti galeri pameran, menaiktaraf pelantar, laluan pejalan kaki, wakaf, pintu gerbang, papan penerangan, pelindung petak ekskavasi dan lain-lain kerja berkaitan.

Sumber: Jabatan Warisan Negara

Bukit Tengkorak

Keunikan Bukit Tengkorak

Bukit Tengkorak terletak kira-kira 500 kaki d atas paras laut di pesisiran pantai Semporna, Timur Sabah (Utara 4 27’ 20.08” dan 118 37’ 04.3” Timur). Bukit Tengkorak merupakan tapak pelindung gua batuan volkanik dan sebahagian daripada bibir gunung berapi yang berdiameter sekitar 2 kilometer.

Kajian arkeologi yang sistematik dan saintifik telah dijalankan di Bukit Tengkorak dan kawasan sekitar daerah Semporna oleh sekumpulan Penyelidik dari Pusat Penyelidikan Arkeologi Malaysia, Universiti Sains Malaysia dengan kerjasama Jabatan Muzium Sabah semenjak 1994 hingga hari ini.

Hasil kajian arkeologi yang diperolehi menunjukkan bahawa Bukit Tengkorak merupakan sebuah tapak pembuatan tembikar prasejarah yang terbesar di Asia Tenggara. Antara bukti arkeologi yang telah ditemui terdiri daripada ribuan serpihan tembikar prasejarah dan tanah liat yang digunakan untuk pembuatan tembikar. Selain itu, kajian etnoarkeologi menunjukkan bahawa teknologi pembuatan tembikar masih lagi diamalkan sehingga hari ini oleh masyarakat Bajau di Semporna.

Ekskavasi arkeologi di Bukit Tengkorak juga menunjukkan ia kaya dengan pelbagai artifak arkeologi seperti alat batu mikrolit (kecil), batu pemukul kulit kayu, beliung sisa-sisa tulang haiwan serta cengkerang dan tulang ikan laut. Asosiasi arifak-arifak berkenaan yang ditemui semasa ekskavasi menunjukkan bukti kewujudan aktiviti sibsisten seperti pemburuan haiwan dan penangkapan ikan serta pengumpulan cengkarang di laut.

Bukit Tengkorak merupakan sebuah tapak arkeologi yang penting di Malaysia dan Asia Tenggara. Kepentingan Bukit Tengkorak termasuk penemuan bukti dan hipotesis baru mengenai penghijrahan manusia dan perdagangan atau pertukaran maritime prasejarah di kepuluan Asia Tenggara dan Pasifik. Penyelidikan arkeologi di Bukit Tengkorak telah menemui bukti perdagangan laut yang terpanjang di dunia, iaitu dari Timur Sabah ke New Britain di Melanesia, sejauh lebih 3,500 kilometer kiria-kira 3,000 tahun dahulu.

Bukti ini secara tidak langsung mencadangkan bahawa lautan dari Melanesia ke kepulauan Asia Tenggara, 2,000 – 3,000 tahun sebelum Captain James Cook menjelajahi kepulauan Asia Tenggara dan lautan Pasifik pada 1768-1779. Bukit Tengkorak juga telah dikenal pasti sebagai salah satu tapak pembuatan tembikar tanah yang terbesar sekali di Asia Tenggara pada Zaman Neolitik. Berpuluh-puluh ribu serpihan tembikar tanah yang berusia 3,000 tahun dahulu dan dihiasi dengan pelbagai corak telah ditemui di tapak berkenaan.

Penemuan lain yang unik di tapak ini ialah industri pembuatan alat batu mikrolit yang diperbuat daripada batuan akik, cert dan obsidian. Industri alat batu mikrolit itu merupakan penemuan yang luar biasa dan jarang sekali ditemui di kepulauan Asia Tenggara.

Kajian arkeologi pada 2002 hingga 2006 di tapak Melanta Tutup, sebuah tapak baru yang terletak kira-kira 12 kilometer dari Bukit Tengkorak juga telah mendedahkan bukti baru mengenai kewujudan manusia prasejarah manusia di daerah Semporna lebih 10,000 tahun dahulu pada Zaman Paleolitik sehingga Zaman Neolitik (3,000 tahun dahulu), Zaman Logam dan Zaman Sejarah Awal (1,000 tahun dahulu).

Bukti-bukti arkeologi yang ditemui semasa ekskavasi di tapak berkenaan ialah artifak prasejarah seperti pengebumian manusia dalam keranda kayu balak, tempayan, dan pengebumian lunjur, alat batu mikrolit yang dibuat daripada akik, cert dan obsidian, serpihan tembikar tanah dan batu, loceng gangsa, alat-alat besai, manik, dan sisa-sisa flora dan fauna seperti tulang haiwan, ikan dan cengkarang laut.

Kajian perbandingan jumpaan artifak seperti tembikar dan alat batu yang ditemui di Bukit Tengkorak menunjukkan banyak persamaan dengan artifak yang ditemui di tapak-tapak sezaman yang lain di Asia Tenggara dan lautan Pasifik. Kajian paleoantropologi dan perbandingan rangka-rangka manusia yang ditemui di Semporna dan tapak-tapak lain di Asia Tenggara turut menyokong hipotesis migrasi dan penyebaran berleluasa populasi manusia prasejarah di Asia Tenggara pada Zaman Neolitik dan Logam.

Kajian sumber batuan dan artifak obsidian yang ditemui di Bukit Tengkorak turut mencadangkan kewujudan rangkaian perdagangan atau pertukaran dan pergerakan manusia secara jarak jauh melalui lautan antara kepulauam Asia Tenggara dan Pasifik seawal 3,000 tahun dahulu.

Sumber: New Sabah Times

Gambar-Gambar Lain Klik Di Sini

 

 

18 Comments

Leave a Reply

CommentLuv badge
Protected by WP Anti Spam