The Borneo Store Produk Tempatan Sabah & Sarawak. Beli Sini Segera.

Barang Yang Wajib Anda Beli Di Tamu Lawas, Sarawak

Daerah Lawas terletak di Timur Laut Negeri Sarawak bersempadan dengan Daerah Temburong (Negara Brunei ) di Selatan, Teluk Brunei di Utara, Daerah Limbang dan Sabah/ Kalimantan di Utara. Daerah Lawas mempunyai dua buah daerah kecil iaitu Trusan dan Sundar dengan keluasan kawasan seluas 3,811.9 km persegi. Dahulu Trusan yang menjadi tumpuan tetapi pada tahun 1905 Lawas telah dipilih menjadi pusat pentadbiran Daerah Lawas yang terletak di lembah Sungai Salawating.

Dahulu pekan Lawas terdiri dari rumah kedai kayu di tebing Sungai Lawas. Sekarang pekan Lawas telah menjadi pusat perbandaran yang berkembang maju yang memberikan perkhidmatan moden. Walaupun terpencil Pekan Lawas sekarang mempunyai jaringan perhubungan udara ke Limbang dan Miri, jaringan jalan raya ke Kota Kinabalu dan pengangkutan air ke Pulau Labuan.

Saya sendiri sudah beberapa kali pergi ke Lawas dari Kota Kinabalu. Memang agak jauh namun perjalanan yang seronok kerana dapat singgah di beberapa daerah lain seperti Papar, Beaufort, Weston dan Sipitang.

Antara lokasi wajib di kunjung adalah Tamu Pekan Lawas.

Tamu Lawas yang beroperasi setiap hari Jumaat dan Sabtu. Produk tempatan seperti kraftangan, sayur-sayuran, buah-buahan dan hasil laut dijual oleh penduduk tempatan di sini. Selain itu, ikan tahai, garam bukit dan beras bario juga dijual di sini.

Beras Bario

Beras Bario, Tamu Lawas, Sarawak (3)

Beras Bario

Beras Bario merupakan antara beras tersohor di negara ini kerana rasanya berbeza daripada beras biasa. Terdapat dalam dua jenis, beras putih dan beras yang warnanya keperang-perangan.

Struktur bijirinnya lebih kecil dan melekit seperti pulut. Lebih menarik lagi, walaupun nasi dimakan dalam kuantiti yang banyak, ia tidak akan membuatkan perut anda senak kekenyangan.

Ini kerana ia lebih lemak, saiz lebih kecil dan yang penting lebih mahal iaitu antara RM25 hingga RM30 segantang (3.5 kilogram).

Beras Bario dijual dengan harga mahal kerana produk itu terpaksa diterbangkan menggunakan pesawat ataupun pengangkutan darat melalui jalan balak yang mengambil masa perjalanan sehingga 12 jam untuk sampai ke bandar.

Garam Bukit Bario

Garam Bukit,Tamu Lawas, Sarawak (1)

Garam Bukit Bario

Garam bukit dikatakan mempunyai khasiat zat besi, iodin, kalium dan magnesium semulajadi sesuai digunakan sebagai penambah perisa makanan selain mempunyai banyak kelebihan daripada segi kesihatan.

Antaranya seperti membantu melancarkan perjalanan darah, menyeimbang cas dalam badan, membunuh kuman dalam udara serta menyihatkan tubuh.

Garam bukit di Bario ini merupakan salah satu daripada hasil bumi negeri Sarawak yang sememangnya diketahui kaya dengan sumber mineral semulajadi.

Selain Kampung Pa’ Umor, terdapat beberapa lagi kampung lain di sekitar Bario yang turut mempunyai sumber telaga air masin.

Prosesnya bermula dengan menjerang air garam yang diambil daripada telaga masin menggunakan cara pembakaran kayu api di dalam kawah besar. Selepas tempoh sehari semalam, air garam itu akan dibiarkan mengalami proses pengkristalan sebelum membentuk butiran garam halus.

 Ikan Tahai

Ikan Tahai, Tamu Lawas, Sarawak (2)

Ikan Tahai

 Ikan Tahai merupakan panggilan atau nama bagi ikan Tamban yang telah di salai atau di bakar.

Ia satu proses yang sedikit rumit sebelum menjadi ikan Tahai kerana untuk proses ‘penyalaian’, ikan Tamban perlu di bakar dalam tempoh tertentu di dalam sebuah bangsal khas.

Oleh kerana proses yang sedikit rumit ini harga ikan tahai boleh dikatakan tinggi dengan sekitar RM18 bagi satu kilogram pada waktu biasa. Manakala boleh mencapai hampir RM40 bagi satu kilogram pada waktu bekalan ikan tahai kurang di pasaran.

Ikan Tahai yang dimasak sup dipanggil tahai dadah atau ikan dadah atau dadah tahai. Sebab apa? sebab ikan Tahai yang dimasak sup ni tahap kesedapannya boleh buat orang ketagih untuk makan lagi.

Kraftangan

Kraftangan, Tamu Lawas, Sarawak (4)

Kraftangan

Penduduk Lawas terdiri dari bangsa Lun Bawang, Murut, Kedayan, Melayu, Iban dan Cina yang terkenal dengan kemahiran membuat anyaman seperti bakul, topi dan sebagainya.

Kredit Gambar : Pejabat Daerah Lawas

 

12 Comments

Leave a Reply

CommentLuv badge
Protected by WP Anti Spam