
Kredit Gambar: Regatta Lepa-Lepa 2011 oleh Rade Knoxville
Regatta Lepa Semporna 2012 bakal berlangsung pada 20 – 22 April 2012 ini.
Kita bertuah tinggal di Malaysia. Masyarakat Malaysia yang majmuk memberi peluang kepada kita untuk menghayati keunikan dan keindahan seni budaya pelbagai etnik di negara ini. Sabah, salah satu negeri di Malaysia yang terletak di Utara Pulau Borneo bukan sahaja kaya dengan keindahan alam semulajadi, tetapi ia juga kaya dengan warisan budaya penduduknya.
Masyarakat Bajau Laut di Semporna Sabah terkenal dengan kehebatan mereka sebagai pelaut yang disegani. Bagi mereka, laut bukan sahaja sebagai sumber rezeki tetapi turut memberikan pelbagai inspirasi dan pengaruh tersendiri kepada kehidupan.
Hakikatnya, laut adalah dunia mereka. Buktinya mereka bukan sahaja menetap di tepi laut tetapi juga tinggal ‘di atas laut’ dengan menjadikan lepa sebagai kediaman rasmi atau sebagai rumah mereka. Mereka hidup di atas lepa dan menjalani sebahagian besar hidup di laut dan hanya naik ke darat untuk mendapatkan bekalan air, kayu api dan upacara pengebumian. Bajau Laut memang sinonim dengan lepa.
Biasanya sebuah lepa didiami oleh sebuah keluarga yang dianggotai lima hingga enam orang. Setiap lepa yang didiami sesebuah keluarga Bajau menampilkan seni ukiran dan saiz yang berbeza di mana ia menggambarkan status keluarga tersebut. Lepa dalam bahasa kaum Bajau Pantai Timur Sabah bermaksud perahu atau bot. Biasanya Lepa diperbuat daripada kayu jenis Ubar Suluk ataupun Seraya Merah. Lazimnya, lepa berukuran lapan meter panjang dan dua meter lebar serta menampilkan pelbagai jenis ukiran dan warna.
Lepa merupakan peninggalan budaya yang diwarisi sejak zaman-berzaman oleh suku kaum Bajau Semporna. Sejak kurun ke-14, ia merupakan pengangkutan utama untuk membawa muatan pedagang-pedagang tempatan dari Semporna ke Kepulauan Sulu, Borneo, Kalimantan. Catatan sejarah juga menunjukkan lepa telah digunakan oleh para pendakwah untuk menyebarkan agama Islam di rantau Asia Tenggara pada awal kurun ke-15.
Oleh itu, lepa dianggap sebagai satu elemen penting dalam hidup dan telah sebati dengan adat dan tradisi Bajau Laut. Ia juga amat berpengaruh dalam perkembangan seni budaya tempatan. Dalam persembahan kebudayaan, alat-alat muzik tradisional ataupun tagungguh akan dimainkan di atas Lepa. Ia merupakan satu lambang keagungan dan warisan budaya bangsa Bajau Semporna di mana ia masih lagi wujud hingga ke hari ini.
Kini, kebanyakan masyarakat Bajau di kawasan berkenaan telah tinggal di darat. Walau bagaimanapun, budaya yang diwarisi sejak zaman berzaman ini dipersembahkan dengan meriah dan gemilang dalam Perayaan Regatta Lepa untuk dihayati oleh masyarakat terutamanya generasi hari ini.
Perayaan Regatta Lepa disambut pada bulan April setiap tahun di daerah Semporna, Sabah. Ia menjadi perayaan yang penting dalam kalendar masyarakat Bajau Semporna dan boleh dianggap sebagai ‘hari raya’ mereka. Pada tahun 1994, perayaan Regatta Lepa mula diperkenalkan sebagai perayaan di peringkat daerah dan kemudiannya diiktiraf menjadi perayaan di peringkat negeri Sabah. Seterusnya pada tahun 2003, Perayaan Regatta Lepa telah dimasukkan ke dalam kalendar ‘Pesta Air Malaysia’ dan kini ia merupakan salah satu acara tahunan di Malaysia.
Setiap tahun pengunjung berpeluang melihat sendiri keunikan lepa yang cantik.Lepa-lepa tersebut diukir dengan motif bertemakan laut seperti ikan, duyung dan kuda laut. Ia juga turut dihiasi dengan corak awan larat dan tulisan khat Hiasan ukiran tersebut merangkumi keseluruhan bahagian lepa beserta tiang selain turut dihiasi dengan layar dan bendera tiga segi kecil. Setiap satu lepa juga akan membawa penari-penari dan ahli muzik yang lengkap dengan pakaian tradisional masyarakat Bajau Laut.

Kredit Gambar: Ratu Cantik Regatta Lepa-Lepa Semporna oleh azmanjumat
Menjadi tradisi kepada sambutan Regatta Lepa, sebanyak lebih 50 buah perahu akan menyertai Pertandingan Sambulayang atau juga dikenali sebagai pertandingan layar dan perahu tercantik. Usaha menghasilkan sebuah lepa yang cantik boleh memakan masa sehingga empat bulan dan kosnya boleh mencecah hingga ribuan ringgit. Lepa yang paling cantik dan kreatif akan dinobatkan sebagai pemenang Lepa Tercantik yang merupakan hadiah utama dalam perayaan ini.
Beberapa acara sukan melibatkan perahu seperti lumba perahu, tarik perahu secara berpasangan, renang dan persembahan kesenian dan kebudayaan turut diadakan untuk memeriahkan lagi perayaan ini. Selain itu, pada perayaan ini turut dipamerkan pelbagai jenis kraftangan masyarakat Bajau seperti aksesori wanita, pakaian tradisional, alat-alat tradisioanl dan lain-lain lagi.

Kredit Gambar: Lepa Abisa oleh Rade Knoxville
Di sebalik perayaan dan kisah sejarah lepa yang panjang ini sebenarnya terselit mesej kepada masyarakat supaya kuat dari aspek mental dan fizikal umpama sebuah lepa yang kuat serta gah belayar di lautan. Hakikatnya, usaha memartabatkan dan memelihara warisan budaya bangsa perlu digerakkan dengan lebih proaktif selaras dengan perkembangan dunia sekarang yang semakin mencabar agar ianya tidak ditelan zaman.
Kredit Gambar:
- Regatta Lepa-Lepa 2011 oleh Rade Knoxville
- Ratu Cantik Regatta Lepa-Lepa Semporna oleh azmanjumat
- Lepa Abisa oleh Rade Knoxville
Sumber:
- Perayaan Regatta Lepa – Facebook
- Regatta Lepa Semporna – Sabah Tourism Board
Pingback: Kalendar Pelancongan Sabah Bulan April 2013 | Cuti Sabah
asmekom….saya perlukan tu gambar2 tu….mcmana saya mo downlod??…saya mo resolutionya ok…
warna warni bot2 tu..

Jebeng Otai™ dan entrinya..Wordless Wednesday : Jetty Point Langkawi
Menasik pesta di Semporna. Nasib baiklah jauh kalau tidak sudah pergi membidik gambar.

akubiomed dan entrinya..Zulfahmi pelumba Moto 3 menyerlah di Litar Losail Qatar
Memang unik bila mereka hanya tinggal di atas perahu sahaja
Rasanya mahal juga nak siapkan sebuah ni, Mus
tehr dan entrinya..Bulan Kesihatan Mulut
peh, lama gila tak turun semporna nih..
titan dan entrinya..Komisen ke 53 dari Text Link Ads
Pingback: Keunikan Budaya Bajau Laut Sempena Regatta Lepa Semporna, Sabah | my.Mustaffa.