The Borneo Store Produk Tempatan Sabah & Sarawak. Beli Sini Segera.

Percutian Ringkas Ke Pulau Labuan – Hari Pertama

Di penghujung cuti sekolah ini barulah saya berkesempatan bersama keluarga menghabiskan sisa-sisa cuti sekolah yang tinggal hampir 2 minggu lagi.

Perancangan awal kami adalah balik ke kampung halaman di Kuching. Disebabkan masalah yang tidak diduga, perancangan kami terbatal dengan kekecewaan pada kami sekeluarga terutamanya anak-anak. Kecewa juga bila tidak dapat balik kampung sebab sekarang musim buah-buahan.

Sebagai ganti, rancangan bercuti ke kampung saya ubah dengan percutian ringkas di Pulau Labuan. Isteri dan anak-anak kebetulan juga tidak pernah ke Pulau Labuan, pulau bebas cukai. Walaupun hampir 9 tahun bermastautin di Sabah, barulah sekarang kami sekeluarga berkesempatan bercuti bersama di sana.

Kami berada di sana selama tiga hari dua malam.

Hari pertama, kami bertolak dari rumah pada pukul 8 pagi dan singgah bersarapan di Pekan Papar. Kami tiba di Menumbok pada pukul 11.00 pagi dan berehat seketika sebelum menaiki feri ke Pulau Labuan pada pukul 11.30 pagi.

Cuti Ringkas Ke Pulau Labuan (1)

Menaiki feri Galaxy ke Labuan.

Kereta kami tinggalkan di Menumbok dengan cas RM5.00 semalam (parkir tidak berbumbung).

Tambang feri adalah RM2.50 seorang dan ditambah RM1.50 cukai pelabuhan dan kami menaiki Feri Galaxy.

Kami tiba di Terminal Feri Antarabangsa Labuan hampir pukul 1.30 petang.

Cuti Ringkas Ke Pulau Labuan (2)

Anak-anak teruja naik feri.

Saya sudah membuat tempahan penginapan melalui booking.com sehari sebelum bertolak. Pada asalnya saya ingin menempah hotel di Palm Beach Resort Labuan, namun tiada kekosongan. Mungkin saya membuat tempahan minit akhir kebetulan pula masih musim cuti sekolah.

Selepas pencarian untuk bilik ‘Family Room’, akhirnya cuma tersedia di Micasa Hotel sahaja. Saya tempah di sana dan bermalam untuk malam pertama di Labuan.

Sebelah petang kami sempat berjalan kaki ke Ujana Kewangan Labuan. Agak sunyi keadaan di sana. Sempatlah juga membawa anak-anak makan di KFC selepas membeli belah di Parkson.

Hujan mula turun dengan lebatnya semasa kami menjamu selera di KFC. Jarak hotel dan Ujana Kewangan boleh tahan juga jauhnya. Sementara menunggu isteri dan anak-anak membeli coklat, saya ke CIMB untuk menukar kad debit paywave. Tak sampai 10 minit, kad CIMB saya dapat ditukarkan.

Tukar kad debit CIMB di Labuan

Tukar kad debit CIMB di Labuan

Hujan masih tidak berhenti. Akhinya kami mengambil teksi untuk pulang ke hotel. Tambangnya RM12 (zon 1) mengikut resit.

Sebelah malam, kami tidak berjalan keluar kerana anak-anak kepenatan. Berehat di bilik sahaja sambil bersembang-sembang sahaja. Mujurlah kedai, restoran ada berdekatan hotel. Mudah untuk membeli makanan.

bersambung..

2 Comments

Leave a Reply

CommentLuv badge
Protected by WP Anti Spam