The Borneo Store Produk Tempatan Sabah & Sarawak. Beli Sini Segera.

Percutian Ringkas Ke Pulau Labuan – Hari Kedua

Entri kali ini sambungan  dari pada Percutian Ringkas Ke Pulau Labuan – Hari Pertama yang lepas.

Tidur malam kami di Micasa Hotel Labuan sedikit terganggu kerana lokasinya berhampiran pusat karaoke dan kedai makan 24jam yang ‘tak pandai’ nak perlahankan ‘volume tv’. Bilik hotel selesa cuma sedikit gangguan seperti ini akan menjadikan hotel ini mendapat rating yang rendah dan mungkin kami tidak akan menginap di sini lagi pada masa akan datang. Di sebalik kekurangan itu, lokasi hotel ini berhampiran kedai makan dan pasaraya. Memudahkan kami untuk membeli barang keperluan.

Cara Mudah Mencari Hotel Di Labuan

Sebelah pagi, selepas bersarapan ringkas di restoran berhampiran, saya segera menguruskan kereta sewa yang sudah ditempah beberapa hari sebelum bercuti ke Pulau Labuan.

Kereta Sewa Di Pulau Labuan.

Saya tempah dalam talian di keretasewalabuan.com. Kadar kereta sewa di Labuan agak murah berbanding tanah besar Sabah. Pada mulanya saya menempah Toyota Vios dengan kadar RM100 sehari. Namun, ditukar kepada Honda City dengan kadar yang sama pada saat-saat akhir. Itu tidak menjadi masalah bagi saya.

Kereta Sewa Murah Labuan

Namun keaadaan kereta sewa yang tidak dijaga dengan sempurna seperti tayar botak diserahkan kepada saya sedikit sebanyak mengecewakan.

Ada banyak lagi penyedia kereta sewa di sana, namun percutian tidak dirancang membuatkan semuanya ditempah pada saat-saat akhir.

Tempat Menarik Di Pulau Labuan.

Dengan berpandukan maklumat dari Google Map, kami sempat mengunjungi beberapa lokasi wajib dilawati seperti;

Muzium Chimney

Banyak sejarah perlombongan arang batu oleh orang Inggeris diantara tahun 1847-1911 dipamerkan untuk infomasi kepada pengunjung.

Pengunjung boleh mempelajari sejarah awal Tanjung Kubong yang dahulunya merupakan tapak pelombongan dan penyimpanan arang batu yang besar dan pembinaan menara chimney masih menjadi tanda tanya tujuan pembinaanya.

Menara Chimney – sebuah menara ikonik yang dibina dengan menggunakan 23,000 batu-bata merah dengan rekabentuk ala Inggeris. Menara yang setinggi 32.5 m ini dipercayai telah ada di sini sejak tahun 1880 an. Menara ini dibaikpulih sepenuhnya dan menjadi tumpuan pelancong ke Labuan terutamanya Tanjung Kubong yang menyimpan banyak kisah perlombongan arang batunya.

Muzium Chimney Labuan

Taman Burung Labuan

Lokasi taman burung ini tidak jauh dari Muzium Chimney (satu jalan yang sama) terletak di Jalan Tanjung Kubong.Taman burung ini menempatkan lebih 100 spesis burung-burung Borneo/Kalimantan di dalam sangkar.

Taman Burung Labuan telah dicadangkan penubuhannya oleh mantan Perdana Menteri Malaysia ke empat iaitu Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad dan ianya mula dibina pada tahun 1995.

Pada tahun 1997, Taman Burung Labuan ini telah siap sepenuhnya dan dibuka kepada umum pada tahun 1999 di mana ia kemudiannya dirasmikan oleh YB Dato Seri Hj.Mohd Shariff Bin Hj Omar Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia pada Ogos 2003.

Antara burung yang menjadi tarikan ialah enggang, burung hantu, tiong mas, kakak tua, merak, burung unta dan sebagainya.

Waktu operasi Taman Burung Labuan seperti berikut:

  • Selasa – Ahad: 9 pagi – 4.30 petang
  • Isnin: 2 petang – 4.30 petang

Harga tiket Taman Burung Labuan pun berpatutan:

  • Dewasa: RM 3 seorang
  • Kanak-kanak 6-12 tahun: RM 1 seorang
  • Kanak-kanak bawah 6 tahun: Percuma
  • Dewasa tanpa MyKad: RM 5 seorang

Nota: Tempat parkir kenderaan agak sedikit di sini.

Surrender Point

Tugu peringatan penyerahan Jepun kepada tentera Australian semasa Perang Dunia Ke-2 pada tahun 1945.

Muzium Marin Labuan

Muzium yang bertempat di sebuah bangunan yang berekabentuk moden dan terbahagi kepada 2 bahagian utama mengikut aras:

  • Aras bawah: Terdapat 14 buah akuarium hidupan marin jenis ikan dan terumbu karang yang ada di persekitaran kepulauan Borneo yang sangat cantik.
  • Aras Pertama: Galeri pameran replika hidupan marin, infografik tentang aktiviti laut seperti menyelam dan memancing. Tarikan yang paling menarik di sini ialah satu rangka anak ikan paus yang dikatakan berusia lebih 100 tahun dan juga pameran seekor dugong yang diawet yang dijumpai mati terdampar di Pulau Papan.

Tugu Peringatan Perang Dunia Kedua, Labuan.

Menempatkan lebh kurang 1788 kubur dari Perang Komanwel Dunia II di Labuan. Kebanyakan para pejuang perang dikebumikan di tanah perkuburan ini, termasuk tentera India dan Australia, terbunuh semasa pencerobohan Jepun di Borneo sekitar tahun 1945.

Tanah perkuburan ini telah didirikan oleh Commonwealth War Graves Commission.

Tempat Makan Di Pulau Labuan

Kami mengunjungi beberapa restoran yang dirujuk menggunakan Google sahaja. Antaraya adalah Anjung Selera Indera Gusu dan Restoran Anjung Ketam.

Anjung Selera Indera Gusu

Kami memilih tomyam, nasi goreng ikan masin, sup daging dan chicken chop sebagai juadah pilihan kami pada sebelah tengah hari.

Memenuhi selera kami dan sedap.

Anjung Ketam

Tempat makan ini meman menjadi bualan setiap pengunjung ke Labuan. Kami sekeluarga tidak melepaskan peluang mencuba masakan di sini. Kami datang pada sebelah malam.

Kami memilih ketam masak telur masin, pahat-pahat masak sambal, ikan stim halia, ketam lembut goreng tepung dan sotong goreng tepung. Semuanya sedap belaka.

Kami paling berpuas hati pada ketamnya yang segar, isi padat dan bertelur.

Selepas menjamu selera, kami balik ke hotel kami di Global Hotel.

bersambung..

Carian Yang Berkaitan:

6 Comments

Leave a Reply

CommentLuv badge
Protected by WP Anti Spam