The Borneo Store Produk Tempatan Sabah & Sarawak. Beli Sini Segera.

Mendaftar Homestay Dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia

Logo Homestay Malaysia

Program Pengalaman Homestay Malaysia telah dilancarkan pada tahun 1995 di Temerloh. Program ini merupakan sebuah inisiatif di bawah Pelan Induk Pelancongan Luar Bandar yang bertujuan untuk meningkatkan penyertaan masyarakat luar bandar di dalam sektor pelancongan.

Homestay adalah merupakan satu bentuk pengalaman di mana pelancong tinggal bersama keluarga tuan rumah pengusaha homestay yang telah berdaftar dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Para pelancong berpeluang untuk berinteraksi serta mengalami gaya hidup seharian masyarakat kampung dan kebudayaan mereka. Konsep utama yang ditekankan bagi produk ini adalah lebih kepada produk pelancongan lifestyle atau yang berunsurkan pengalaman.

Objektif utama pelaksanaan Program Pengalaman Homestay Malaysia adalah untuk memenuhi kehendak dua kumpulan sasar iaitu:

(i) masyarakat kampung:

  • berkongsi manfaat daripada sektor pelancongan kepada semua lapisan masyarakat dengan menggalakkan penyertaan penduduk luar bandar di dalam industri pelancongan;
  • meningkatkan pendapatan serta taraf hidup masyarakat kampung, di mana kekayaan daripada industri pelancongan dapat dinikmati bersama oleh semua lapisan masyarakat; dan
  • melahirkan usahawan pelancongan di kalangan masyarakat desa.

(ii) para pelancong:

  • menyediakan pengalaman unik kepada para pelancong yang berminat untuk mengalami kehidupan serta kebudayaan masyarakat kampung; dan
  • mewujudkan produk pelancongan hospitaliti desa dengan harga yang kompetitif dan bertaraf antarabangsa.

Program ini adalah berbeza dengan konsep kemudahan penginapan sederhana lain seperti ‘bed & breakfast’ di mana tidak ada keluarga yang tinggal bersama dan sistem pengurusannya adalah sepertimana pengurusan hotel biasa.

Garis Panduan Pendaftaran Program Homestay

1. Penyertaan di dalam program ini dibuka kepada semua rakyat Malaysia yang berkeluarga dan tinggal di luar bandar serta menetap di suatu kediaman rumah yang tetap.

2. Takrif rumah kediaman di dalam konteks ini ialah rumah atau tempat tinggal yang sesuai seperti yang dinyatakan di dalam syarat-syarat di dalam perenggan D.

3. Prinsip utama dalam mewujudkan sesebuah homestay adalah kesediaan secara sukarela serta minat masyarakat sesebuah kampung untuk menyertai program homestay Malaysia.

4. Di antara garis panduan yang telah ditetapkan adalah seperti berikut:

  • harus mempunyai sekurang-kurangnya 10 buah rumah bagi setiap kluster homestay;
  • bagi rumah panjang, harus mempunyai sekurang-kurangnya 10 unit rumah di dalam sesebuah cluster rumah panjang berkenaan;
  • mempunyai kemudahsampaian dari segi perhubungan dan pengangkutan atau accessibiliy;
  • mempunyai sikap act and think tourism;
  • menjamin tahap kebersihan dan keselamatan yang optimum;
  • melibatkan akitiviti-aktiviti masyarakat desa seperti menoreh getah, sawah padi, memancing serta memetik koko dan kelapa; dan
  • permainan sukan tradisional dan kebudayaaan seperti congkak, sepak raga, caklempong dan tarian rakyat.

5. Sebelum berdaftar dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, setiap pengusaha homestay perlu :

i. Lulus pemeriksaan rumah yang diselia oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia melalui Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri (PKPKN) dengan kerjasama:

1. Jabatan Kesihatan
2. Tourism Malaysia
3. JKKK
4. Persatuan Homestay Negeri

ii. Menghadiri Kursus Asas Homestay anjuran Institut Kemajuan Desa (INFRA), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

6. Pihak KPK akan membuat pemeriksaan rumah setiap 3 tahun sekali.

7. Bagi memastikan kejayaan program ini, semua peserta yang terlibat adalah dikehendaki:

  • Berurusan dengan agensi pelancongan yang dilesenkan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan harga, makanan, pengangkutan dan hal-hal yang melibatkan pakej lawatan.

8. Agensi pelancongan yang turut serta hendaklah memberi khidmat yang sesuai termasuk membuat tempahan, menyediakan pengangkutan, membuat promosi di dalam dan luar negeri dan lain-lain perkhidmatan yang perlu.

9. Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia membantu dalam pengedaran “brochures” yang mengandungi maklumat peserta kepada pelancong dari dalam dan luar negara.

Cara Memohon

1. Semua permohonan untuk berdaftar hendaklah dibuat melalui Borang Permohonan Program Homestay – BORANG KPL/HP 1. – Borang Pendaftaran Program Homestay

2. Borang Permohonan yang lengkap hendaklah dihantarkan ke alamat di bawah atau cawangan di setiap negeri:

Program Homestay
Bahagian Pembangunan Industri
Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia
Tingkat 14, No 2, Menara 1
Jalan P5/6, Presint 5,
62200 Putrajaya
Tel : 03-8891 7484/7486/7479/7489
Fax : 03-8891 7473

Syarat-Syarat Penyertaan Program Homestay

1. Lokasi rumah kediaman :

  • Lokasinya hendaklah di dalam kawasan yang sesuai dari segi perhubungan pengangkutan.
  • Bebas daripada sebarang sumber pencemaran.
  • Mempunyai persekitaran yang sesuai supaya dapat memaparkan cara hidup masyarakat Malaysia.

2. Kemudahan asas:

  • Rumah kediaman tersebut hendaklah mempunyai keluasan yang sesuai dan pelancong yang menginap hendaklah ditempatkan di bilik yang berasingan.
  • Bagi menjamin keselesaan keluarga dan pelancong, bilangan maksimum bilik yang dibenarkan untuk disewakan kepada pelancong adalah terhad kepada 4 buah bilik dengan ruang keluasan yang sesuai.
  • Keselesaan pelancong perlu diberi perhatian termasuklah menyediakan bilik mandi, tandas, ruang makan dan ruang tamu dan kemudahan asas lain yang sesuai.
  • Penyediaan dan pembekalan makan/minum, tuala, ubat nyamuk, kelambu dan kain sarong/batik adalah atas permintaan oleh pelancong dan ianya akan dikenakan bayaran.
  • Penyelenggaraan rapi ke atas semua kemudahan asas hendaklah dibuat bagi memastikan kebersihan persekitaran dan keselesaan pelancong.

3. Kebersihan :

  • Kawasan persekitaran rumah perlulah bersih dan bebas dari sampah sarap yang menjadi tempat pembiakan nyamuk dan lalat.
  • Sistem pembuangan air dan perparitan yang baik hendaklah diadakan bagi mengelakkan bau busuk.

Isu Keselesaan Dan Keselamatan Homestay

1. Untuk melindungi keselamatan pihak-pihak yang terlibat, terutamanya pelancong, perlindungan insuran adalah perlu. Bagi memastikan semua pihak yang terlibat akan mendapat perlindungan, jika berlaku sebarang bentuk kemalangan, perkara-perkara berikut adalah diperlukan iaitu:

  • Bagi pelancong berkumpulan dan diuruskan oleh syarikat pelancongan, perlindungan insurans hendaklah diuruskan oleh syarikat pelancongan tersebut.
  • Bagi pelancong perseorangan (FIT) tuan punya rumah dinasihatkan mengambil insuras daripada mana-mana syarikat insurans yang berdaftar.

Panduan Penyediaan Makanan Bagi Homestay

A. Penyimpanan , Penyediaan dan Pengelolaan Premis Maknanan.

1. Semua tempat penyimpanan dan penyediaan makanan dan premis makanan hendaklah dijaga supaya sentiasa berada di dalam keadaaan bersih dan kemas.

2. Tempat-tempat berkenaan mestilah bersih dari segala bekas yang telah digunakan (kotak-kotak, tin, botol dan sebagainya) yang boleh menjadi tempat menginap dan pembiakan tikus dan serangga.

3. Bahan buangan dari premis-premis makanan perlulah dikumpulkan di dalam bekas yang sempurna dan dibuang sekerap yang mungkin.

4. Premis-premis makanan, alat kelengkapan dan bekas untuk mengumpul bahan buangan mestilah dibersihkan sekerap yang mungkin.

5. Persekitaran premis mestilah dijaga supaya berada di dalam keadaan baik dan dibersihkan selalu.

B. Pekakas Dan Peralatan

1. Semua perkakas dan peralatan yang digunakan dalam penyediaan dan pengendalian makanan hendaklah dari jenis yang sesuai yang tidak menyebabkan makanan beracun.

2. Perkakas dan peralatan hendaklah dicuci selepas digunakan dan disimpan dalam keadaan yang bersih. Semua perkakas hendaklah disimpan dalam keadaan yang sempurna dan mana-mana yang mengalami kerosakan hendaklah diganti.

C. Tindaklaku Personal Yang Menyediakan Makanan.

1. Semua mereka yang terlibat di dalam pengedaran dan pengendalikan makanan tidak boleh :

  • Memegang atau mengendali makanan dengan tangan kotor.
  • Mengesat tangan dengan bajunya atau lain-lain kain/bahan selain dari tuala yang bersih.
  • Membenarkan bahagian bawah pinggan mencemari makanan di pinggan yang di bawahnya semasa meletak atau membawa makanan-makanan tersebut.
  • Membenarkan sudu, garpu, atau apa-apa peralatan yang digunakan untuk makan dan minum dicemari oleh kotoran dari individu yang mengendali makanan atau dari mana-mana punca lain.
  • Mengesat alat kelengkapan dengan menggunakan kain atau bahan yang tidak bersih atau yang telah dicemari.

D. Pengendalian Makanan

1. Semua bahan makanan mentah mestilah dibersihkan secukupnya dan diletakkan di dalam bekas yang sesuai sebelum disimpan.

2. Makanan hendaklah disimpan pada tempat yang selamat dan jauh dari bahan beracun atau bahan toksin seperti pesticides dan sebagainya.

3. Semasa menghidang makanan yang sedia dimakan makanan mestilah dijaga dengan menutup makanan tersebut.

Sumber: MOTAC

Carian Yang Berkaitan:

Leave a Reply

CommentLuv badge
Protected by WP Anti Spam