The Borneo Store Produk Tempatan Sabah & Sarawak. Beli Sini Segera.

Burung Bangau Dan Nelayan Mencari Rezeki Bersama

Si Bangau Dan Nelayan
Klik Sini Untuk Gambar Besar

Suasana pagi tadi sungguh indah. Saya terserempak dengan para nelayan yang sedang leka melabuhkan jaring masing-masing untuk menangkap ikan di perairan Teluk Likas.

Mata saya tertarik dengan burung bangau yang setia bersama nelayan menangkap ikan. Mungkin juga mengharapkan belas ihsan nelayan untuk menghulurkan ikan seekor dua kepadanya. Jika burung bangau dengan kerbau, tidak hairanlah kerana sudah menjadi pandangan harian di sini.

Saya Pernah Menjadi Nelayan

Saya terkenang kembali bila melihat keadaan seperti ini. Saya dulu juga pernah pergi menangkap ikan bersama arwah datuk saya.

Memang terasalah bahang mentari yang memancar terus ke kulit saya. Kalau nak kata ‘sun burn’, memang tak boleh hendak dielak. Begitulah lumrah kehidupan nelayan. Sentiasa dibuai gelombang ketika mencari rezeki.

Pengalaman hari pertama bersama arwah datuk menangkap ikan di Batang Lupar, Sri Aman tidak mungkin dapat dilupakan. Kepala pening mabuk laut membadai diri. Namun, bila hari silih berganti, minggu ke bulan, ia sudah menjadi biasa bagi saya.

Hampir 20 tahun tidak turun ke laut, saya pasti mengangkat bendera putih jika diajak ke laut lagi. Saya khuatir pengalaman lalu (mabuk laut) berulang kembali.

8 Comments

Leave a Reply

CommentLuv badge
Protected by WP Anti Spam