The Borneo Store Produk Tempatan Sabah & Sarawak. Beli Sini Segera.

Ayam Pansuh Makanan Wajib Anda Cuba Di Sarawak

Kali ini saya ingin berkongsi sedikit info mengenai makanan tradisional kaum Dayak di Sarawak, khasnya Iban, Bidayuh dan Orang Ulu iaitu ayam pansuh.

Di kalangan masyarakat Iban, makanan yang dimasak di dalam buluh ini disebut ‘ayam pansuh’ atau ‘manok pansuh’, manakala di kalangan masyarakat Bidayuh dan Orang Ulu saya kurang pasti bagaimana sebutnnya. ‘Manok’ adalah nama panggilan tempatan bagi ayam.

Juadah ayam pansuh ini memang kegemaran saya dan sudah saya  makan beberapa kali. Memandangkan isteri saya berbangsa Iban, memasak ayam pansuh bukanlah perkara asing baginya.

Namun jika lihat secara kasar, cara memasaknya memang mudah. Tetapi jika bagi orang yang jarang balik ke kampung, proses mencari buluh di hutan merupakan cabaran besar dalam menyediakan juadah ini.

Buluh Sebagai Alat Memasak

Buluh sebagai bahan penting mestilah dari buluh yang baru ditebang supaya aroma wanginya kekal semasa memasak.

Bahan-bahan untuk membuat ayam pansuh mudah diperolehi. Kita boleh menggunakan bahan tambahan seperti terung asam/terung dayak yang sememangnya sukar dijumpai di tempat lain kecuali Sarawak. Buah terung ini bertindak sebagai asam bagi juadah ini.

Kredit: http://aliceritakarya.blogspot.my/2015/02/terong-asam-atau-terong-dayak.html

Terung Asam/Terung Dayak Kredit gambar : http://aliceritakarya.blogspot.my

Satu ketika dahulu, juadah ayam pansuh cuma dibuat semasa sambutan perayaan utama seperti hari gawai sahaja tetapi kini ia sudah dikomersialkan, malah menjadi sajian di restoran terkemuka terutamanya di Sarawak.

Oh ya, selain batang buluh untuk memasak, penggunaan daging ayam mestilah diambil kira juga. Dicadangkan lebih baik menggunakan ayam kampung segar kerana dagingnya yang manis. Sementara pucuk ubi kayu digunakan sebagai campuran dalam masakan dan juga digunakan untuk menutup mulut buluh.

Wap yang terhasil daripada ayam yang masak di dalam buluh tersebut akan menjadi kuahnya. Ayam pansuh merupakan juadah yang menyihatkan kerana tiada minyak serta kaya dengan herba tradisi yang sangat berkhasiat untuk tubuh badan.

Ayam Pansuh/Manok Pansuh.- Kredit gambar: http://marybelelly.blogspot.my/2011/03/cara-membuat-manuk-pansuh.html

Ayam Pansuh/Manok Pansuh. – Kredit gambar: http://marybelelly.blogspot.my

Resipi Ayam Pansuh (Manok Pansuh)

Antara bahan-bahan yang diperlukan ialah ayam (ayam kampung), halia, serai, bawang putih, garam, bahan perasa, bunga kantan, daun kunyit, daun ubi dan terung dayak.

Selepas ayam dibersihkan dan dipotong dadu, ia kemudian diperap dengan halia, serai, bawang putih, garam dan bahan perasa secukup rasa selama setengah jam.

Daun ubi pula diramas bersama garam untuk mengeluarkan getahnya dan mengurangkan pahit.

Semua bahan kemudian dimasukkan ke dalam buluh dan pucuk ubi digunakan untuk menutup mulut buluh sebelum dibakar.

Ia dibakar di atas bara api seperti membakar lemang.

p/s: selain ayam, boleh juga menggunakan ikan, burung puyuh dan sebagainya mengikut citarasa masing-masing.

Carian Yang Berkaitan:

5 Comments

Leave a Reply

CommentLuv badge
Protected by WP Anti Spam